Ada
beberapa buah buku yang disebarkan dengan cukup luas di masyarakat yang
memuat kisah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh yang konon telah membunuh
seorang anak perempuan dengan menguburnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat Dijamin Masuk Surga
oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional (1984), halaman
50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di dalam surat kabar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan Bestari (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama “Ilham” (Harakah, 30 Nov. 1998). Keduanya memuat cerita yang sama dengan sedikit perbedaan narasinya.
Jika
cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak
ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan citra
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh sebagai sahabat karib Rasulullah
Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam dan khalifah agung umat Islam.
Cerita
yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah,
pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka
menyebarkannya. Pertama, karena jahil dan kedua adalah karena menganggap
kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh berada di
zaman Jahiliyah.
Apa peliknya andaikata semasa Jahiliyah itu
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh telah melakukan demikian! Selain itu
bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam? Dengan kemampuannya yang luar
biasa dalam mengubah dan membentuk pribadi manusia, sehingga manusia
yang sekejam Umar Radhiyallahu ‘Anh itu pun setelah memeluk Islam
menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam
kemudian.
Bagi penulis, tidak timbul soal kehebatan Islam dalam
mengubah kehidupan manusia karena ini pun telah terbukti melalui sekian
banyak riwayat-riwayat yang shahih. Tetapi bagaimana dengan cerita
kekejaman Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh ini? Apakah kedudukannya?
Adakah ia memang berdasar atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan
semata-mata?
Alangkah berguna kepada para pembaca sekalian
sekiranya penulis buku-buku dan artikel-artikel tersebutmengemukakan
tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada
orang banyak itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.
Kisah
ini tidak akan dapat ditemui dan didapatlam walaupun bayangannya di
dalam kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu
sekali mulanya ia direka oleh musuh Islam, tetapi sungguh malang sekali
kita umat Islam hari ini, karena menerima apa saja yang disodorkan dalam
bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah Shalallahu
‘Alaihi wa Sallam telah pun bersabda yang berarti;
“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadits Riwayat Muslim)
Tujuan
penulis mengoreksi artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk
memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi
wa Sallam, juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya,
pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya
supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan
Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam dan sahabat-sahabat Baginda
Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam karena mereka adalah cermin agama Islam.
Supaya
lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bagian
terpenting dari kisah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh mengubur
hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disiarkan di dalam
akhbar tersebut). Begini ceritanya …
“…
Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang
digalinya. la menangis. Umar tidak menghiraukannya. … Umar menutupkan
mata dan terpikir, “Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau
dilahirkan sebagai perempuan?” la menangis. Tangannya gementar, tubuhnya
menggigil. “Umar, jangan jadi pengecut,” tiba-tiba suara itu terdengar
berulang kali di telinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar
meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu
menghembuskan nafasnya yang terakhir …”
Selain kisah ini
tidak terdapat di dalam kitab-kitab shahih dan muktabar, ia juga
bertolakbelakang dengan kaidah ilmu periwayatan yang dipakai oleh ulama’
Islam dalam menilai sesuatu cerita.
Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:
1.
Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk
membuktikan seorang pun dari kabilah Quraisy pernah mengubur anak
hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar Radhiyallahu
‘Anh membunuh anak perempuan sendiri.
2. Adat mengubur anak
perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah kabilah Bani
Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka disebabkan
anak-anak itu. (Mohd Tayyib An Najjar, Al Qabasu Al Waddha’, halaman 78, Zakaria Bashier, The Meccan Crucible, halaman 24).
Sebagaimana
adanya riwayat menyebutkan Qais bin Asim, seorang pemimpin kabilah Bani
Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku mengubur
hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliyah, di sana
terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kabilah yang
sama telah menyelamatkan sekian banyak anak-anak perempuan dari dibunuh
oleh ibu bapak mereka karena takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak
perempuan itu.
Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha
membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, kakek dari Al
Farazdaq (seorang penyair Arab yang terkenal) dan Zaid bin Amar bin
Nufail.
Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan dari kedua ibu bapak
mereka, kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak
perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang. (Ath Thabarani dalam Al Mu’jamu Al Kabir, jilid 8, halaman 77).
Sementara
Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakatnya
yang menyekutukan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sesuatu yang lain
malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan
serta mengamalkan sisa-sisa peninggalan agama Nabi Ibrahim (‘Alaihis
Salam). Beliau juga membeli anak-anak perempuan dari ibu bapak mereka
lalu memeliharanya hingga dewasa. Kemudian beliau akan membawa anak
perempuan itu kepada dua ibu bapak masing-masing lalu berkata kepada
mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini bolehlah kamu
mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini
bersama saya.” (Bukhari, jilid 1, halaman 540.)
Zaid bin
Amar bin Nufail bukan saja dari keluarga Sayyidina Umar Radhiyallahu
‘Anh malah beliau merupakan sepupu Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh
sendiri. Adik perempuan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh menjadi isteri
kepada anaknya Sa’id, manakala anak perempuan Zaid pula menjadi isteri
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh sendiri. Takkanlah dalam keluarga yang
terkenal dengan usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan dari
dibunuh oleh orang tua mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menyerlah
dan terpenting di kalangan mereka melakukan perbuatan terkutuk ini
dengan membunuh anak sendiri!
3. Setelah Mekah dibuka, Rasulullah
Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam berbai’at dengan perempuan-perempuan
Mukmin. Di antara ucapan Baginda Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam ialah:
“Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun dengan spontan
menjawab, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula
yang membunuhnya.”
Peristiwa tersebut dicatatkan di dalam
kitab-kitab hadits dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci,
kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraisy tidak terlibat dengan
adat yang keji ini.
Sabda Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa Quraisy tidak
terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu sabda Baginda
Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam yang bermaksud;
“Sebaik-baik
perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap
anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka amat menjaga kedudukan dan
harta benda suami.” (Shahih Muslim, jilid 16 halaman 81)
Apa
artinya pujian Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam mengenai sifat
penyayang mereka terhadap anak-anak sekiranya mereka juga seperti
kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak? Sewaktu
Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam diutuskan menjadi Nabi, Sayyidina Umar
Radhiyallahu ‘Anh ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak Sayyidina Umar
Radhiyallahu ‘Anh yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka
ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.
Dalam
tradisi Arab, seseorang itu di-kunyah-kan dengan anak sulungnya.
Sebagaimana kunyah Nabi kita Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam ialah Abu Al
Qasim, kunyah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh ialah Abu Hafsin yang
merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.
Perlu
juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa banyakkah isteri
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh dan juga hamba sahayanya di samping
anak-anak beliau dengan mereka itu?
Karena sejarah menyimpan semua
maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh,
Imam Ibnu Al Jauzi dan lain-lain telah menuliskan daftar isteri-isteri
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh dan anak-anaknya serta hamba sahayanya.
Beliau menulis, “Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh mempunyai beberapa
orang isteri dan mendapat banyak anak.”
Isteri beliau ialah:
- Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Utsman bin Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafshah, Abdullah, dan Abdul Rahman.
- Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.
- Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Tsabit bin Aflah. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Ashim.
- Ummul Hakam binti Al Harits bin Hisyam. Dengannya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
- Ummul Kultsum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar.
- Ummul Kultsum binti Ali bin Abi Talib. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Ashghar dan Ruqayyah.
- Dari hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh telah mendapat anak. Dengan Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan dengan Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Ausath dan Abdul Rahman Al Ashghar.
Jadi anak-anak Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh adalah seperti berikut:
Lelaki:
- Abdullah
- Abdul Rahman Al Akbar
- Abdul Rahman Al Ausath
- Abdul Rahman Al Ashghar
- Zaid Al Akbar
- Zaid Al Ashghar
- Ubaidullah
- ‘Ashim
- ‘lyadh
Perempuan:
- Hafshah
- Ruqayyah
- Fatimah
- Zainab
Dari
isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh
hanya mendapat tiga orang anak yaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah
bin Umar dan Abdul Rahman Al Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan
Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikunyahkan dengan Abu Hafsin.
Pada
ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai hanya 3 orang anak ini
saja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh itu? Apakah namanya dan apakah nama
ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh betul-betul tidak suka
atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kunyah
Abu Hafsin?
Selain dari alasan yang disebutkan tadi, adakah logik
Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh baru mengetahui jantina sebenar
anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun?
Mungkin juga orang
yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin
yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunan-nya, atau mungkin ia pura-pura terkeliru.
Riwayat
itu menyebutkan bahwa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah Shalallahu
‘Alaihi wa Sallam lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Kami dahulu
orang-orang Jahiliyah. Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak.
Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia
berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya
memanggilnya. Dia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada
satu telaga. Saya memegang tangannya dan mendorongnya masuk ke dalam
telaga. Kata-kata terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah, ‘Ayah!’”
Mendengar
ceritanya itu Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam menangis. Orang-orang
yang ada berdekatan dengan Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata
kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah
Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam.” Nabi bersabda, “Orang ini datang
bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu (kesedihan Rasulullah).”
Seraya Baginda Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata kepada orang itu,
“Ceritakan sekali lagi kisah itu.” Orang itu pun mengulangi lagi sekali
kisah tersebut menyebabkan Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam
menangis sehingga basah janggutnya.
Kemudian Nabi Shalallahu
‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh
mereka di zaman Jahiliyah telah dihapuskan oleh Allah Subhanahu wa
Ta’ala dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulaikanlah
amalan-amalan yang lain.” (Sunan Daarimi, jilid 1, halaman 3)
Ini
adalah satu kisah dari seorang yang tidak diketahui siapa orangnya dan
apa namanya. Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat telah
mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh padahal
cerita ini pun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak
dapat disabitkan karena Wadhin adalah merupakan perawi teratas, lahir
pada tahun 80 H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula
menceritakan perawi lain di atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar
sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!
Dalam istilah
ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqathi’, karena
perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah
seorang yang dipertikaikan oleh ulama’ rijal hadits tentangnya. Imam
Bukhari, Muslim, dan Nasa’i tidak mau menerima riwayatnya. Ibnu Saad
berkata, “Dia seorang yang dhaif.” Abu Hatim berkata, “Sebagian
riwayatnya baik, tetapi sebagian yang lain sangatlah buruk.” Jauzajani
berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan Al I’tidal, jilid 4, halaman 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahwa, “Ingatannya sangat jelek di samping tertuduh berfahaman Qadariyah.” (Taqribu At Tahzib jilid 2 halaman 331)
Bila
riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan
pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang
pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar Radhiyallahu ‘Anh?
Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak berani dilakukan dengan
sengaja, kecuali oleh musuh-musuh Islam.
Rep/Red: Shabra Syatila
0 comments:
Post a Comment